MELAKA TUAN RUMAH KEJOHANAN BOLA BALING KEBANGSAAN
PAYA RUMPUT 31 Oktober – Sebanyak 7 pasukan berentap di dalam Kejohanan Bola Baling Bawah 20 Tahun Kebangsaan Antara Negeri 2024 yang diadakan di Kompleks Sukan Komuniti Krubong bermula semalam hingga 3 November ini.
Antara pasukan tersebut ialah tuan rumah, Melaka diikuti Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Kedah.
Majlis perasmian pembukaan kejohanan tersebut telah disempurnakan oleh Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Hameed dalam ucapan perasmiannya berkata, Kerajaan Melaka mengalu-alukan kehadiran semua pasukan ke negeri ini dan berharap kejohanan ini dapat berikan manfaat serta semangat dalam merebut kejuaraan kejohanan tersebut.
“Saya mewakili Ketua Menteri Melaka amat berbesar hati menerima penganjuran kejohanan ini diadakan di negeri bertuah ini dan saya mendoakan agar setiap pasukan pamerkan aksi terbaik bagi merebut kejuaraan.
“Saya difahamkan, kejohanan ini merupakan sebahagian perancangan daripada program pembangunan sukan, jadi inilah peluang buat anda semua (pemain) untuk membuktikan keupayaan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan perasmian Kejohanan Bola Baling Bawah 20 Tahun Kebangsaan Antara Negeri 2024 di Kompleks Sukan Komuniti Krubong, di sini, semalam.
Hadir sama Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka, Mohd Asri Ninggal; Pegawai Tugas-Tugas Khas Kepada Ketua Menteri, Datuk Kamarul Zaman Jantan dan Presiden Persatuan Bola Baling Melaka, Mohd Azahari Bahrom.
Kejohanan itu menyaksikan dua kategori dipertandingkan iaitu kategori lelaki dan wanita.
Pada hari pertama, pasukan Melaka bermula dengan langkah kanan selepas pasukan lelaki menewaskan Kedah 29-21, manakala pasukan wanita menewaskan Negeri Sembilan 37-15.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.