MELAKA TUAN RUMAH DUA PROGRAM BESAR

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

BANDARAYA MELAKA 5 September – Melaka dipilih menjadi tuan rumah bagi penganjuran dua program besar di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) pada tahun hadapan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, program itu adalah Persidangan Koperasi Masjid-Masjid Seluruh Negara dan Sambutan Hari Koperasi Peringkat Kebangsaan 2025.

“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri menerima tawaran ini dan akan bekerjasama untuk memastikan semuanya berjalan dengan baik.

“Pada tahun hadapan juga kita akan menerima persidangan di peringkat antarabangsa dan dunia yang mana Melaka dipilih menjadi tuan rumah kepada Kerajaan Malaysia iaitu forum World Tourism Day (WTD).

“Forum ini akan dihadiri oleh 154 negara yang wakilnya terdiri daripada menteri dan pegawai-pegawai pelancongan seluruh dunia yang akan berkampung di Melaka pada bulan Oktober 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi 2024 di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin dan lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Melaka bersedia menjadi tuan rumah bagi acara-acara besar seperti itu kerana mempunyai fasiliti yang cukup baik.

“Penyediaan hotel-hotel juga cukup dan kita juga telah mempertingkatkan kualiti logistik kita untuk mengatur kehadiran pelancong dan para perwakilan program WTD ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

770
Kongsi :
Previous post MELAKA BILA LARUT MALAM: MENU RM10 DIPERKENALKAN BULAN DEPAN
Next post MUHAMMAD HAZIQ KEBANGGAAN MELAKA
Ubah saiz-+=