Sorting by

×

Melaka tidak laksana BDR babit penjawat awam

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 19 Feb – Penjawat awam di Melaka masih bekerja mengikut kapasiti penuh dan tiada arahan bekerja dari rumah (BDR) dikeluarkan setakat ini, kata Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Zaidi Johari.

Beliau berkata, meskipun berlaku peningkatan kes harian COVID-19, namun tiada arahan dikeluarkan di peringkat persekutuan meminta sistem penggiliran atau BDR dilaksanakan.

Sebaliknya, jika berlaku penularan kes membabitkan satu-satu jabatan atau pejabat kerajaan negeri, hanya premis itu sahaja yang akan ditutup bagi membendung penularan.

“Buat masa ini kita belum menerima sebarang arahan di peringkat atasan (persekutuan) untuk melaksanakan sistem BDR.

“Memang benar ada kes jangkitan berlaku di kebanyakan jabatan dan agensi kerajaan, namun setakat ini semuanya masih terkawal.

“Tetapi jika penularan itu meningkat dan memaksa penutupan pejabat, maka kita akan ikut saranan untuk menutup premis dan menguatkuasakan BDR hanya kepada jabatan tersebut sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Melaka Tourism Golf Challenge 2022, di Ayer Keroh Country Club (AKCC), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata keperluan untuk menutup jabatan itu bergantung kepada ketua-ketua jabatan sebelum dirujuk kepada Jabatan SUK negeri.

Ujarnya, setakat ini tiada pejabat kerajaan di Melaka ditutup sepenuhnya untuk BDR, sebaliknya premis yang ditutup hanyalah sementara bagi membolehkan pelaksanaan proses sanitasi dilakukan mengikut keluasan pejabat dan jabatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

680
Kongsi :
Previous post Bazar Aidilfitri Lorong TAR beroperasi seperti biasa
Next post Jenazah wanita, bayi mangsa nahas kemalangan dikebumikan satu liang lahad
Ubah saiz-+=