Sorting by

×

MELAKA TIDAK KOMPROMI UNSUR ‘ALI BABA’

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

PENGKALAN BATU 11 Februari – Penganjur bazar Ramadan di negeri ini diingatkan supaya mematuhi syarat ditetapkan terutamanya unsur ‘ali baba’.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana penganjur yang gagal mematuhi syarat ditetapkan.

“Saya yakin telah diingatkan berkali-kali oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh supaya semua peniaga dan penganjur bazar terutamanya mengambil maklum tentang perkara ini.

“Kalau ikut prosedur operasi standard (SOP) memang kita tidak benarkan sewenang-wenangnya untuk penganjur ambil selepas itu jual kepada ejen atau wakil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Back To School sempena Sambutan Hari Perbandaran MPHTJ Ke-15 dan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu di Dewan Japerun Pengkalan Batu di sini, semalam.

Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin dan Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron.

Rais, turut menasihatkan penganjur bazar Ramadan dan para peniaga supaya tidak menimbulkan masalah yang boleh menjejaskan perniagaan mereka.

“Kita akan lihat nanti tindakan bagaimana yang akan diambil jika berlaku perkara ini, tetapi kita harap rakyat Melaka khususnya para peniaga janganlah timbulkan isu begini.

“Tahun lepas tidak ada kes, untuk tahun ini insya-Allah kita tunggu dapat pengesahan daripada pihak berkuasa negeri dan akan umumkan bazar Ramadan serta pasar Ramadan mana yang boleh berniaga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

188
Kongsi :
Previous post KANAK-KANAK TUJUH TAHUN DITEMUKAN LEMAS DI KOLAM RENANG
Next post PEMANDU LORI KONTENA MAUT TERSEPIT HAMPIR DUA JAM