MELAKA TIDAK KOMPROMI TERHADAP GERAKAN AJARAN SESAT

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

PENGKALAN BATU 17 September – Melaka berpendirian tegas tidak akan berkompromi dengan mana-mana fahaman ajaran sesat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri juga sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membendung fahaman negatif itu daripada disebarkan di Melaka.

Ketika ditanya mengenai isu ajaran dikaitkan dengan Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) beliau menjelaskan pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung ajaran itu di Melaka setakat ini.

“Setakat hari ini di Melaka kita tidak menerima sebarang laporan, namun kita serahkan kepada pihak berkuasa yang kini sedang memperincikan siasatan mereka. Ini termasuklah sekiranya ada perkara-perkara yang perlu diihat untuk dikaji dan diberikan cadangan supaya kita boleh ambil tindakan atau sebaliknya.

“Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi jika ada unsur-unsur yang melanggari akidah dan syariah, ini akan menjadi perhatian segera jika ada sebarang pelanggaran hukum syarak dan akidah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutup dan Penyampaian Anugerah Khas Maulidur Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul 1446H Peringkat Negeri Melaka Tahun 2024 di Dataran Pusat Islam, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Barisan Exco Kerajaan Negeri; Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Badaruddin Mohd Kassim serta tetamu lain.

Pada masa sama, Ab Rauf turut meminta Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil melalui Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri untuk mengeluarkan fatwa sekiranya berlaku ajaran sesat berkaitan GISB di Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

121
Kongsi :
Previous post TABUNG AMAL JARIAH NEGERI MELAKA MEDIUM INFAQ MASYARAKAT
Next post JURURAWAT MENGAKU TIDAK BERSALAH SEBABKAN KEMATIAN BAYI BERUSIA SEBULAN
Ubah saiz-+=