Sorting by

×

Melaka tidak buka sempadan negeri 1 Oktober – KM

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

SERI NEGERI 23 Sept. – Melaka tidak akan membuka pintu sempadan negeri untuk pelancong bermula 1 Oktober ini seperti diumumkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Selasa lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali sebaliknya berkata, Melaka hanya akan membenarkan aktiviti rentas negeri dengan syarat mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang telah dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pembukaan sektor pelancongan sebenarnya ianya tidak dibuka pada 1 Oktober seperti dimaklumkan MOTAC, tidak.

“Kita tidak mahu berlaku seperti apa di Langkawi, hari pertama buka, hari kedua dah ada 36 jangkitan (COVID-19) jadi saya kata no (tidak). Kita kena lebih berhati-hati, kita tengok dulu keupayaan kita di sini dengan SOP-SOP yang lebih ketat,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap semasa menggulung perbahasan ucapan penangguhan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata, kerajaan membenarkan pembukaan pusat-pusat pelancongan iaitu pulau-pulau atau kawasan pelancongan berserta aktiviti rentas negeri dibenarkan dengan syarat mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang telah dibuat Kementerian Kesihatan (KKM).

Selasa lalu, Menteri MOTAC, Datuk Seri Nancy Shukri mengumumkan pembukaan tiga destinasi pelancongan dalam tempoh terdekat ini termasuk Melaka.

Selain Melaka, dua destinasi lain yang akan dibuka kepada pelancong tempatan menerusi projek rintis Gelembung Pelancongan bermula 1 Oktober ini ialah Genting Highlands dan Pulau Tioman.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1030
Kongsi :
Previous post Isu abu mayat penganut Hindu akan diselesai segera – KM
Next post COVID: Kes baharu turun lagi ke 13,754 hari ini – KP
Ubah saiz-+=