Melaka tiada perancangan khusus buat penternak katak- Norhizam
AYER KEROH 24 Mac – Tiada perancangan khusus buat penternak katak di negeri ini meskipun Melaka diumumkan sebagai negeri tertinggi dalam pengeluaran ternakan katak pada tahun lalu.
Menurut perangkaan dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan semalam, Melaka menghasilkan lebih 1.5 juta ekor katak bagi baka ‘bull frog’ spesies Rana Catesbeiana tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, JPV tidak mengeluarkan lesen kepada penternak itu tetapi memberi perkhidmatan sokongan berkaitan kesihatan ternakan.
“Memang setakat ini tiada sebarang perancangan khusus untuk penternak katak di Melaka dan kesemua penternak setakat ini mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan.
“Veterinar tidak keluarkan lesen kerana kebiasaannya lesen perniagaan adalah dari pihak berkuasa tempatan (PBT), melainkan khidmat sokongan kesihatan ternakan mereka,” katanya kepada MHI.
Mengikut rekod JPV Melaka, sebanyak 330,000 ekor katak dikeluarkan di kawasan Alor Gajah melibatkan lima penternak, manakala di kawasan Jasin sebanyak 1,196,000 ekor katak melibatkan enam penternak.
Permintaan bagi pasaran ke Kuala Lumpur dan Singapura untuk katak bull frog mencecah 500 kilogram sehingga 3,000 kilogram seminggu dengan harga RM10 hingga RM15 sekilogram.
Bagi umpan pancing pula, harga seekor katak adalah RM0.23 hingga RM0.25 seekor.
Semalam, portal Utusan Malaysia memaklumkan Melaka menjadi negeri pengeluar ternakan katak tertinggi negara tahun lalu mengatasi Pulau Pinang dan Perak.
Selain Melaka yang berjaya menternak lebih satu juta katak, dua negeri lagi dikenal pasti JKV mempunyai perusahaan penternakan katak komersial di Malaysia iaitu Perak dan Pulau Pinang, namun jumlahnya agak kecil.
Perak cuma mampu menghasilkan sejumlah 147,289 ekor katak pada tahun lepas, bertambah sedikit daripada tahun sebelumnya hanya 140,600 ekor haiwan spesies dua alam berkenaan.
Sementara Pulau Pinang sekadar mengeluarkan sebanyak 67,683 ekor katak, merosot 2,317 ekor berbanding 70,000 ekor yang direkodkan pihak DVS pada tahun 2019.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.