Melaka tiada halangan rentas daerah
BANDA HILIR 2 Mei. – Kerajaan negeri setakat ini tidak bercadang melaksanakan larangan merentas daerah selagi rakyat masih mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Itu pendirian Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali ketika ditanya mengenai kemungkinan pengumuman larangan rentas daerah oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Isnin ini.
Beliau berkata, jika Melaka dapat terus kekal sebagai negeri Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), larangan rentas daerah mungkin tidak dilaksanakan.
“Tetapi besar harapan saya agar Melaka terus kekal PKPP dan boleh merentas daerah.
“Walaubagaimanapun saya mengharapkan terutamanya rakyat di Negeri Melaka, kalau boleh patuhi semua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepertimana telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Bazar Aidilfitri Banda Hilir di sini, malam tadi.
Jelasnya, jika rekod positif COVID-19 di Melaka terus menunjukkan trend penurunan, maka larangan itu tidak perlu dilaksanakan.
“Insya-Allah kalau rekod kita baik saya yakin Melaka tidak akan ada larangan untuk merentas daerah.
“Tapi pokok pangkalnya adalah diri kita sendiri, kalau kita boleh jaga dan tangani COVID-19 ini dan trend positif itu menurun, saya rasa cadangan untuk dilarang merentas daerah tidak akan berlaku,” katanya lagi.
Hadir sama Penganjur Bazar Aidilfitri Banda Hilir, Khairul Anuar Mohd Nor.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.