Melaka terus ‘boom’ di bawah kepimpinan Ab Rauf – Shanmugam
AYER KEROH 21 Julai – Idea dan kreativiti Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dalam mentadbir negeri ini terbukti berjaya mewajah Melaka ke satu tahap lebih baik.
Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam berkata, perkara itu dapat dilihat apabila pelbagai limpahan kemakmuran sudah dirasai negeri dan rakyat negeri ini terutama dalam sudut pelancongan dan pelaburan.
Katanya, gerak kerja pantas dan visi besar yang dibawa Ketua Menteri itu turut memberi lonjakan semangat baharu kepada Exco Kerajaan Negeri dan wakil rakyat di negeri ini agar memberi 101 peratus dalam berkhidmat untuk rakyat.
“Sebab itulah semua wakil rakyat, baik di blok kerajaan, mahupun pembangkang perlu berfikir bagaimana cara untuk memajukan negeri dan memberi limpahan kemakmuran kepada rakyat.
“Saya percaya jika (Adun) Sungai Udang dan (Adun) Bemban turut menyokong (visi dibawa Ketua Menteri, sudah pasti Melaka akan lebih maju dan kemakmuran ini dirasai rakyat.
“Jangan takut kerana kedudukan itu bukan perkara utama, tetapi Negeri Melaka dan rakyat. Apabila tibanya masa dalam tiga tahun lagi, rakyat yang akan menilai kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran di Podcast ‘Mana Lagi, Melaka Ler’ di Studio Melaka TV, di sini.
Memasuki tahun ketiga dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek, Shanmugam mengakui kerjaya baharu itu membuatkannya semakin selesa dan seronok.
Katanya, sebagai wakil rakyat, beliau dapat menikmati satu kepuasan apabila dapat menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi rakyat.
“Antara kenangan manis saya adalah dapat menyelesaikan masalah sepasang suami isteri hilang penglihatan yang mahu mendapatkan pinjaman bagi memiliki rumah.
“Disebabkan kekurangan yang dihadapi, permohonan pinjaman mereka sering ditolak dan saya mengambil inisiatif untuk membantu sehingga mereka berjaya mendapatkan pinjaman.
“Tanpa disangka mereka, datang kembali bertemu saya dan mengucapkan terima kasih dan bagi saya itulah satu kepuasan yang tidak ternilai,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.