Melaka teroka pemindahan teknologi pengurusan jalan di UK

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 26 September – Pembelajaran mengenai teknologi  pengurusan jalan menjadi antara agenda yang diteroka delegasi Kerajaan Negeri Melaka dalam lawatan kerja ke United Kingdom (UK).

Lawatan kerja itu, antara lain turut memberi tumpuan kepada pemindahan teknologi berkaitan jalan dan jambatan membabitkan agensi Kerajaan Negeri bersama beberapa syarikat di negara berkenaan.

Semalam, delegasi Kerajaan Negeri yang diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengadakan lawatan ke Jetpatcher, iaitu syarikat yang mempunyai reputasi tinggi dalam kerja-kerja penyelenggaraan jalan berlubang.

Ab Rauf dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya memaklumkan, antara objektif utama lawatan itu adalah mempelajari secara langsung operasi dan kelebihan jentera Jetpatcher dalam kerja-kerja penyelenggaraan jalan.

Jelasnya, ia termasuklah mengenai pengurusan jalan berlubang secara efisien yang boleh dipraktikkan di negeri ini.

“Selain itu, delegasi Kerajaan Negeri turut mempelajari kerja-kerja pembaikan jalan lebih tahan lama serta pengurusan kerja yang lebih bersih dan persekitaran selamat,” katanya.

Hadir sama pada lawatan itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh.

Turut bersama, Pengarah Jabatan Kerja Raya Melaka Datuk Ir. Ismail Abd Rahman dan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI) Masrul Faizal Mohamad.

Lawatan itu merupakan sebahagian daripada program yang diatur sempena Lawatan Kerja Teknikal Pemindahan Teknologi CMI ke London.

Menurut Ab Rauf, lawatan kerja tersebut adalah bagi melihat konsesi penyelenggaraan rutin jalan negeri, jalan pihak berkuasa tempatan, jalan kampung dan jalan pertanian secara bersepadu di Negeri Melaka.

“Besar harapan saya agar lawatan ini memberi manfaat dan pengalaman berguna untuk pembangunan negeri Melaka menuju sebuah negeri maju serta lestari,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3861
Kongsi :
Previous post Hawa tekad perkasa STEM di Melaka
Next post Malaysia tidak akan layan tuntutan remeh mana-mana pihak ke atas Sabah – Zambry
Ubah saiz-+=