Melaka teroka peluang baharu usahawan desa – KM

Masa Membaca:2 Minit, 43 Saat

SERKAM 27 Mac – Kerajaan Negeri komited meneroka peluang-peluang baharu dalam program pembangunan usahawan khususnya melibatkan masyarakat luar bandar.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pelbagai bidang keusahawanan sosial akan dijadikan penggerak ekonomi masyarakat, secara tidak langsung akan memacu ekonomi setempat, menghindari migrasi dan mampu menyeimbangkan pembangunan ekonomi negeri.

“Program-program berbentuk keusahawanan ini juga diyakini mampu meningkatkan jaringan kerjasama di antara ahli-ahlinya, di mana sinergi di antara pelbagai agensi dengan kerajaan boleh memperkasa kebolehpasaran produk yang berkualiti ke pasaran domestik dan antarabangsa.

“Perkara ini secara tidak langsung akan menambah nilai kepada ekosistem rantaian perniagaan negeri dan negara.

“Berdepan dengan cabaran pasca pandemik COVID-19, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memastikan ekonomi negeri dapat tumbuh dengan sihat sejajar dengan matlamat membangunkan ekonomi rakyat dan memastikan prestasi ekonomi terus kukuh dengan purata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dikekalkan pada kadar 3.9 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Peringkat Negeri Melaka 2023 diadakan di Masjid Jamek Ar-Rahman, Kampung Pulai, di sini, hari ini.

Program itu telah dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

IMG_20230327_205323_821
SERKAM 27 MAC 2023. Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (tengah) hadir pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Ar-Rahman, Kampung Pulai, Serkam, Jasin. Hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang, Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam merangkap Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri Melaka, Datuk Zaidi Attan, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Zaidi Johari. Foto: MR. AZLI

Hadir sama, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari dan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum.

Turut hadir, Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam Datuk Zaidi Attan serta barisan Exco Kerajaan Negeri.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, selain keusahawanan, Kerajaan Negeri turut memberi fokus terhadap peluang pekerjaan dalam misi melahirkan tenaga kerja berkualiti di kawasan luar bandar.

Katanya, peluang yang diwujudkan itu seiring dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0)

“Pelbagai program sedang dirangka oleh Kerajaan Negeri khususnya dalam menawarkan kursus-kursus dalam bidang yang relevan dalam pasaran kerja masa kini.

“Malah, Kerajaan Negeri juga sentiasa prihatin dengan permasalahan rakyat terutama berkaitan isu banjir,” katanya.

Pada program itu, dianggarkan seramai 1,500 umat Islam terdiri daripada pelajar tahfiz, asnaf dan masyarakat setempat diraikan dalam majlis berbuka puasa yang diadakan di perkarangan masjid itu.

Untuk rekod, Melaka menjadi lokasi ketiga daripada 13 negeri untuk penganjuran Majlis Santunan Kasih Ramadan.

Majlis itu turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada lapan pusat tahfiz dan sumbangan duit raya, selain mengagihkan lima geran daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bernilai RM60,000.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1982
Kongsi :
Previous post Nahas LRT Mei 2021: Lapan individu saman Rapid Rail, Prasarana
Next post Pembentukan Kerajaan Perpaduan di Melaka akan dibincangkan – Ahmad Zahid
Ubah saiz-+=