Sorting by

×

Melaka terima peruntukan RM420j naik taraf infrastruktur air terawat

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

SERI NEGERI 23 Feb – Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) meluluskan peruntukan sebanyak RM420 juta kepada Melaka bagi melaksanakan lebih 12 projek melibatkan penambahbaikan infrastruktur air terawat di negeri itu bagi tempoh tiga tahun bermula tahun lepas.

Pengerusi PAAB Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata antara projek berkenaan ialah penambahbaikan Loji Rawatan Air Merlimau, Loji Rawatan Air Jus dan Loji Rawatan Air Jernih bagi memastikan rakyat Melaka menikmati bekalan air bersih mencukupi.

“PAAB akan menguruskan tender-tender bagi pelaksanaan projek terlibat dan ada juga diserahkan kepada kerajaan negeri melalui Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) untuk diuruskan.

“Selalunya kita memberikan 10 peratus daripada keseluruhan peruntukan diluluskan kepada kerajaan negeri untuk uruskan dari aspek tender dan pemilihan kontraktor bagi mempercepatkan projek tersebut untuk tempoh tiga tahun ini,” katanya pada sidang media di Seri Negeri di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali bagi membincangkan projek pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur air di negeri itu.

Mohd Khairuddin berkata peruntukan yang diluluskan kepada kerajaan negeri Melaka bergantung kepada bajet diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan setiap negeri memperolehi peruntukan berbeza.

Beliau berkata sebagai contoh, sebanyak RM920 juta diluluskan kepada kerajaan negeri Pahang untuk menambah baik infrastruktur air terawat di negeri itu bagi tempoh tiga tahun, juga bermula tahun lepas.

“Projek-projek yang dilaksanakan itu akan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan kepada anak tempatan khususnya dalam bidang pengurusan air selain meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Khairuddin yang juga bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU) PAS itu berkata beliau akan membantu jentera parti berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor walaupun tidak lagi memegang sebarang jawatan penting dalam parti berkenaan.

Katanya, beliau masih ahli PAS dan Ahli Parlimen Kuala Nerus serta sebahagian tanggungjawabnya untuk turun padang berkempen bagi memastikan parti itu dapat meraih kemenangan pada PRN Johor.

“Saya meletakkan jawatan sebagai Setiausaha dan Ahli Majlis Syura Ulama PAS secara sukarela dan suka saya sebut bahawa tidak pernah ada satu kekecewaan dalam hidup saya… setiap benda yang berlaku pasti ada hikmah tersendiri. (Saya) sangat positif untuk hidup saya kerana sebagai pejuang politik, terlalu banyak kerja boleh dibuat,” katanya.

Pada Isnin, Mohd Khairuddin menegaskan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS dan ahli badan itu, masing-masing berdasarkan peruntukan Fasal 8(7) dan Fasal 8(5) Perlembagaan PAS. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

895
Kongsi :
Previous post Pantau, kemas kini gejala COVID-19 di MySejahtera sepanjang kuarantin – Khairy
Next post PM, Pemangku Raja Pahang bincang isu pulihara Harimau Malaya
Ubah saiz-+=