Sorting by

×

Melaka terima pelaburan RM50 juta dari syarikat komponen mikro dari Switzerland

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

DURIAN TUNGGAL 22 Januari – Melaka menerima pelaburan berjumlah RM50 juta daripada Audemars Microtec (Malaysia) Sdn Bhd, sebuah syarikat pembekal dan pembuat komponen elektronik mikro bagi pembuatan alat bantu pendengaran serta peranti perubatan berpengkalan di Switzerland.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Audemars Microtec merupakan jenama unggul dalam bidang pembuatan produk mikro sejak 125 tahun lalu.

Katanya, operasi kilang itu juga secara tidak langsung membuka 200 peluang pekerjaan dalam bidang kemahiran tinggi pembuatan halus atau mikro di negeri ini.

“Kilang pengeluaran komponen mikro di Melaka ini menghasilkan komponen penting yang membuat dan membolehkan fungsi peranti perubatan implan, intervensi dan ‘wearable medical devices’ yang paling canggih.

“Tapak pengeluaran Audemars di Melaka meliputi kawasan seluas 0.33 hektar dan akan memberi tumpuan kepada pembuatan gegelung mikro dan magnet mikro,” kata Ketua Menteri pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Audemars Microtec (Malaysia) Sdn Bhd di Taman Perindustrian Angkasa Nuri, hari ini.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem dan Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, S Sivasuriyamoorthy dan Ketua Pegawai Eksekutif Audemars Microtec (Malaysia) Sdn Bhd, Dr. Mirko Audemars.

Mengulas lanjut, Ab Rauf turut menyatakan kegembiraan dan sempat merakamkan ucapan terima kasih kepada Audemars kerana memilih untuk membuka kilangnya di negeri ini.

“Saya sangat gembira mendengar syarikat Swiss ini memilih Melaka untuk melabur dan mengembangkan perniagaan mereka.

“Suka untuk saya katakan Melaka merupakan negeri mesra pelabur dan pada tahun ini kita akan menarik lebih ramai lagi pelabur luar untuk membuat misi pelaburan di sini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2245
Kongsi :
Previous post Melaka mantapkan 67 jurulatih SUKMA
Next post Melaka terima 4.77 bilion nilai pelaburan setakat September 2023
Ubah saiz-+=