Melaka terima 300,000 dos vaksin tambahan bulan depan

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

KRUBONG 30 Ogos – Isu kekurangan bekalan vaksin di Melaka pada minggu lalu sudah diatasi apabila menerima bekalan vaksin tambahan secara berperingkat.

Exco Kesihatan negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata sebelum ini, bekalan vaksin terutama jenis Pfizer-BiONTech ke negeri ini dilaporkan berlaku kelewatan sekali gus sedikit mengganggu perjalanan program vaksinasi.

Bagaimanapun katanya, perkara itu dapat diatasi dengan penerimaan sebanyak 500,000 dos keseluruhan vaksin pada bulan ini.

“Bekalan yang kita dapat pada bulan ini adalah sebanyak 500,000 dos dan bulan hadapan akan ada lagi 300,000 dos vaksin yang akan tiba.

“Sekiranya ada masalah bekalan, kita akan dapatkan semula daripada Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega di Stadium Hang Jebat, di sini hari ini.

Justeru itu, Rahmad berkata, rakyat negeri diminta untuk terus memanfaatkan peluang untuk mendapatkan suntikan vaksin dengan mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.

“Insha-Allah kita mampu capai 100 peratus bagi dua dos suntikan pada penghujung Oktober dan jika ada yang tertinggal, kemungkinan penerima vaksin jenis AstraZeneca kerana ambil sedikit masa.

“Setakat ini, hanya lima peratus iaitu kira-kira 37,000 daripada 677,400 rakyat yang berusia 18 tahun ke atas masih belum mendaftar untuk menerima suntikan vaksin di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

443
Kongsi :
Previous post Dr Ghazali jalankan tugas Naib Canselor UTeM
Next post Tun Sakaran tokoh pemimpin disegani- Ismail Sabri
Ubah saiz-+=