Melaka teliti bantuan untuk penternak kupang terjejas
KUALA LINGGI 12 Jun – Pengusaha dan penternak kupang yang terjejas ekoran kehadiran alga berbahaya di perairan Melaka sejak April lalu akan dibantu dengan sewajarnya oleh Kerajaan Negeri.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, penternak yang terjejas sebelum ini telah menerima bantuan daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Jelasnya, Kerajaan Negeri juga sedang meneliti bentuk bantuan yang bersesuaian untuk meringankan beban mereka yang terjejas, namun ia bukanlah dalam jumlah yang besar.
“Kita sedang usahakan dan perhalusi bentuk bantuan ini, namun soal kepentingan kesihatan awam perlu diutamakan terlebih dahulu.
“Kita mengakui ada penternak yang terjejas, namun untuk mengatakan terjejas sepenuhnya fakta itu perlu diperbetulkan.
“Ini kerana kebanyakan penternak ini merupakan komuniti nelayan yang mana mereka masih boleh menangkap ikan dan udang. Larangan hanya diberikan untuk spesies kupang atau dwicengkerang yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Nelayan Di Mukim Kuala Sungai Baru Ilir, Daerah Alor Gajah yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Muhamad Akmal turut mengingatkan orang ramai serta pelancong agar tidak membeli hasil laut dwicengkerang yang dijual di negeri ini kerana ia dikhuatiri masih tercemar dengan kehadiran alga yang berbahaya untuk kesihatan manusia.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.