Sorting by

×

MELAKA TAWAR DIRI JADI TUAN RUMAH MESYUARAT MAJLIS RAJA-RAJA

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 25 Mac – Melaka menawarkan diri menjadi tuan rumah Mesyuarat Majlis Raja-Raja, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri sedia mempelawa agar mesyuarat itu diadakan di bumi bersejarah memandangkan negeri ini terbukti berupaya menjadi tuan rumah dalam pelbagai acara besar.

Menurut beliau, hasrat itu juga dizahirkan memandangkan Tahun Melawat Melaka diteruskan hingga tahun 2026, selain tahun depan juga merupakan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026)

“Insya-Allah, tahun depan kita akan jemput Majlis Raja-Raja untuk datang ke negeri ini kerana kita sedia menawarkan diri menjadi tuan rumah.

“Ini secara tidak langsung menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri tumpuan bukan sahaja dalam acara atau program di peringkat kebangsaan, tetapi juga antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Ketua Menteri Bersama Warga Jabatan Ketua Menteri Melaka di Dataran Kompleks Seri Negeri di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; ExcoPembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk V.P Shanmugam dan lain-lain barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Untuk rekod, bersempena VM 2026, Melaka juga telah dipilih sebagai lokasi pelancaran memandangkan negeri bersejarah ini merupakan tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 yang dihadiri lebih 155 delegasi Menteri Pelancongan seluruh dunia.

Selain itu, bersempena Aidilfitri tahun ini, Melaka turut dipilih sebagai lokasi Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Bersama YAB Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada 5 April, bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

424
Kongsi :
Previous post INISIATIF PARAKOM TARIK MINAT SYARIKAT SINGAPURA
Next post EXCO, PENJAWAT AWAM NADI KEJAYAAN NEGERI MELAKA