
MELAKA TARIK DARJAH KEBESARAN PENGERUSI EKSEKUTIF GISBH
AYER KEROH 18 November – Kerajaan Melaka menarik balik Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk dianugerahkan kepada Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings (GISBH) Sdn Bhd, Nasiruddin Mohd Ali.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad menerusi satu kenyataan memaklumkan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam selepas mendapat nasihat daripada Ketua Menteri Melaka, mengarahkan penarikan semula Darjah DPSM berkuatkuasa serta-merta.
Katanya, sehubungan itu nama Nasiruddin yang menerima anugerah berkenaan pada 25 Ogos 2024 dikeluarkan daripada Senarai Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Tahun 2024.
“Penarikan balik Darjah Kebesaran ini selaras dengan kuasa prerogatif Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka dalam Perkara 34B, Bahagian IV, Perlembagaan Negeri Melaka.
“Oleh yang demikian, beliau tidak dibenarkan menggunapakai gelaran tersebut dan dikehendaki memulangkan semula darjah kebesaran tersebut kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri, Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.