Melaka tangguh buka PKRC baharu

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 3 Feb. – Melaka terpaksa menangguhkan pembukaan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) baharu di Melaka yang dicadangkan sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, penangguhan itu disebabkan implikasi kos yang tinggi iaitu RM1 juta sebulan sekiranya PKRC berkenaan beroperasi selepas penilaian dibuat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Alasan lain NADMA adalah kerana PKRC sedia ada di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang masih mempunyai 6,000 kekosongan dan boleh dipertingkatkan.

“Bagaimanapun, sekiranya berlaku (keperluan), kita membuat pindaan memilih Dewan Tun Ali (sebagai PKRC) yang mempunyai kapasiti lebih 500 katil berbanding Dewan Bestari di Ayer Keroh yang hanya boleh memuatkan 200 ke 250 katil,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini di sini hari ini.

Pada 9 Januari lalu, Rahmad mengumumkan berkuatkuasa serta merta, semua pesakit COVID-19 di Melaka akan dihantar ke PKRC di MAEPS susulan Hospital Melaka tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit yang ramai.

Bagaimanapun tiga hari selepas itu, beliau memberitahu kerajaan negeri bersedia membuka empat PKRC awam sebagai langkah kesiapsiagaan bagi menampung peningkatan jumlah pesakit.

Empat lokasi terbabit adalah di Dewan Tun Ali, Bukit Katil; Dewan Bestari, Ayer Keroh; Dewan Citra Kasih, Bemban, Jasin dan Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Views:

762
Kongsi :
Previous post Jamali Shadat meninggal dunia
Next post MBMB sedia kiosk layan diri untuk pelanggan
Ubah saiz-+=