Melaka tambah produk pelancongan baharu tahun depan

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BANDA HILIR 23 Nov. – Melaka bakal memiliki pelbagai tarikan pelancongan baharu bermula tahun depan bagi menggalakkan pertumbuhan sektor berkenaan pasca COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, antara yang sedang dalam proses pembinaan ialah sebuah rumah hantu dua tingkat yang akan dibina berhampiran Menara Taming Sari.

Menurutnya, pembinaan tersebut dijangka akan disiapkan selewat-lewatnya pada Jun atau seawal-awalnya menjelang perayaan Tahun Baru Cina.

PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudaaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis

“Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali memberi cadangan agar rumah hantu itu diberi nama Alam Misteri yang mana ia merupakan pelaburan daripada sebuah syarikat menggunakan struktur besi untuk bangunan dua tingkat.

“Pada masa sama di sekitar Menara Taming Sari juga akan dibina sebuah restoran makanan segera yang akan memperkenalkan konsep pandu lalu khas kepada penunggang motosikal,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Selain itu, Muhammad Jailani berkata, sebuah Resort dilengkapi prasarana golf, ‘club house’, rawatan spa dan taman tema air juga sudah dibina di Ayer Keroh yang dijangka mampu merancakkan kembali pertumbuhan sektor pelancongan negeri ini.

“Kita juga sedang dalam proses akhir untuk menghidupkan semula Planetarium di kawasan Ayer Keroh yang mana kita percaya dengan adanya Resort dan Planetarium yang kembali beroperasi ia mampu membuka kira-kira 2,500 peluang pekerjaan di Melaka.

“Sebenarnya, banyak lagi berita baik yang akan menanti rakyat selepas ini apabila kita mengambil langkah intensif dengan meluluskan pelbagai projek yang memberi pulangan bukan sahaja kepada negeri, tetapi juga untuk rakyat di Melaka,” katanya lagi.

Views:

618
Kongsi :
Previous post Paras air Sungai Kesang cecah paras waspada
Next post Penunggang Grabfood ‘hanyut’ satu kilometer
Ubah saiz-+=