Sorting by

×

MELAKA SUMBANG RM30,000 KEPADA TABUNG KEBAJIKAN BOMBA NEGERI

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

REMBIA 5 Disember – Kerajaan Negeri menyalurkan sumbangan berjumlah RM30,000 kepada tabung kebajikan anggota-anggota bomba bagi digunakan untuk tujuan menjaga kebajikan pegawai serta pesara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di negeri ini.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang memandang serius mengenai hal-hal kebajikan anggota JBPM, terutamanya mereka yang sudah bersara.

“Atas sifat prihatin, saya minta JBPM Melaka menyenaraikan keperluan bukan sahaja pesara tetapi anak-anak anggota bomba yang memerlukan perhatian sewajarnya.

“Kali ini saya mengumumkan sumbangan berjumlah RM30,000 kepada JBPM Melaka untuk mengisi tabung kebajikan anggota-anggota bomba. Sumbangan ini juga sebagai tanda menghargai jasa dan pengornanan Bomba Melaka,” katanya ketika berucap pada Program Santai Bersama Ketua Menteri Melaka di Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, merangkap penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia; Datuk Fairul Nizam Roslan.

Yang turut hadir Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri; Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Pengarah JBPM Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Mohd Pisar Aziz.

Pada majlis sama Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara, turut menyerahkan sumbangan 11 unit gergaji rantai atau ‘chainsaw’ bagi kegunaan 11 Balai Bomba dan Penyelamat seluruh Melaka.

Menurutnya, sumbangan gergaji rantai tersebut adalah bagi melancarkan tugas anggota bomba negeri ini yang berhadapan dengan pelbagai dugaan dan cabaran.

“Pada sesi lawatan ke Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah baru-baru ini, saya mengumumkan untuk menyumbangkan chainsaw bagi melancarkan tugas anggota bomba. Alhamdulillah, kali ini sukacitanya Kerajaan Negeri Melaka berbesar hati menyerahkan sebanyak 11 unit chainsaw kepada 11 buah balai Bomba dan Penyelamat.

“Usaha ini jelas mencerminkan komitmen Kerajaan negeri untuk terus menyokong dan memperkasa keupayaan JBPM dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

140
Kongsi :
Previous post MELAKA TUBUH MAJLIS PERBANDARAN MAMPAN DAN PERUBAHAN IKLIM
Next post POLIS TEMBAK MATI SEORANG PENJENAYAH DI INANAM
Ubah saiz-+=