Melaka sudah rayu, tapi terpaksa akur PKP 3.0 – KM

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 11 Mei. – Melaka terpaksa akur dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) berkuat kuasa esok seperti diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin demi kebaikan bersama di seluruh negara.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, walaupun pihaknya sudah membuat permohonan dan rayuan agar diberi kelonggaran aktiviti ziarah dan sambutan raya pada 1 Syawal, namun, Majlis Keselamatan Negara (MKN) terpaksa meneruskan pelaksanaan PKP 3.0 berikutan situasi COVID-19 yang kian meruncing kini.

“Saya sudah membawa hasrat kerajaan negeri dengan memohon PKP ditangguhkan seketika dan dilaksanakan selepas raya iaitu pada Aidilfitri kedua atau ketiga.

“Seperti kita sedia maklum 12 Mei adalah ‘Hari Mantai’ iaitu hari yang penting buat umat Islam untuk melakukan persiapan menyambut raya terutama buat kaum ibu.

“Namun, MKN terpaksa meneruskan juga pelaksanaan PKP 3.0 pada tarikh itu disebabkan peningkatan jumlah kes jangkitan COVID-19 dan Perdana Menteri turut meminta semua negeri akur dengan keputusan tersebut demi keselamatan semua,” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.

Sulaiman berkata, berikutan keputusan itu dibuat di peringkat pusat, pihaknya perlu akur dan mematuhi arahan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau sempat menasihati rakyat agar bersabar dan terus berganding bahu dalam usaha membantu kerajaan memutuskan rantaian COVID-19 di negeri dan negara ini.

Semalam, Muhyiddin dalam satu kenyataan mengumumkan PKP 3.0 akan dilaksanakan di seluruh negara bermula 12 Mei hingga 7 Jun berikutan kes COVID-19 yang semakin meningkat, selain kewujudan varian-varian baharu dengan kadar jangkitan yang lebih tinggi.

Susulan pengumuman itu, segala aktiviti ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah tidak dibenarkan, selain turut melarang sebarang bentuk perhimpunan sosial termasuk kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis doa selamat dan tahlil, majlis makan malam, majlis sambutan hari jadi serta majlis rasmi kerajaan dan swasta.

Selain itu, kerajaan turut menguatkuasakan larangan makan di kedai dan menetapkan hanya tiga penumpang termasuk pemandu dalam sebuah kereta sahaja.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

506
Kongsi :
Previous post Dua pelajar sekolah maut kemalangan di Baling
Next post Waspada aplikasi MyBNM palsu- Bukit Aman
Ubah saiz-+=