Sorting by

×

Melaka sokong usaha IPT martabat golongan OKU

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

REMBIA 13 Jun – Kerajaan Negeri memberi sokongan penuh kepada semua Insitusi Pengajian Tinggi (IPT) yang mahu memperjuangkan nasib orang kurang upaya (OKU).

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, langkah itu sekali gus memberi gambaran jelas bahawa golongan OKU tidak pernah dipinggirkan untuk kehadapan dalam apa jua bidang khususnya akademik.

Mencontohi penganjuran Melaka International Intelectual Exposition 2024 (MIIEX24) dianjurkan Universiti Teknologi MARA (UITM) Melaka, beliau berkata, ekspo berkenaan telah berjaya mengangkat kesedaran supaya OKU diangkat setara seperti individu lain.

“Ini adalah salah satu pendekatan yang cukup baik di mana penganjuran ini telah banyak membawa penekanan berkaitan OKU dan produk-produk inovasi buat golongan ini.

“Kita tidak mahukan golongan ini terpinggir dalam kalangan rakyat Malaysia dan perlu ada pelbagai produk inovasi untuk OKU supaya mereka diletakkan bersama-sama dengan kita.

“Melaka akan memberi sokongan penuh supaya hasrat ini tercapai termasuk pelbagai pendekatan susulan akan dilaksanakan seperti melaksanakan resolusi bagi memartabatkan golongan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan MIIEX24 di Dewan Taming Sari, UiTM Alor Gajah, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri UITM Melaka, Prof Madya Dr. Nur Hayati Abd Rahman; Presiden International Association of Economic and Business (IAEB) UiTM, Prof. Ts. Shafinar Ismail; Setiausaha IAEB UiTM, Hendra Harmain; Pengarah Projek MIIEX24, Dr. Zulkefli Muhammad Hanapiyah serta tetamu lain.

MIIEX24 yang memasuki edisi ke-13 penganjurannya mengangkat tema ‘Empowering Special Need Through Innovation’ bagi membudayakan inovasi untuk insan istimewa.

Ekspo itu mendapat sambutan hebat apabila menerima 567 penyertaan dalam kalangan pemain industri, golongan profesional, IPT dan sekolah-sekolah seluruh negara.

Sebanyak lima kategori dipertandingkan pada ekspo itu iaitu Pembangunan Idea, Inovasi, Reka Cipta, Reka Bentuk, dan Anugerah Khas serta Kategori Khas.

Sementara itu, Dr. Nur Hayati berkata, MIIEX24 yang diadakan tahun ini menerima penyertaan diluar jangka dengan lebih 500 peserta yang menghasilkan produk inovasi buat golongan OKU.

Malah, katanya, penganjuran itu turut menampilkan kelainan menerusi sebuah konvensyen yang diadakan bagi membincangkan peranan OKU.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan semua pihak termasuk di dalam dan luar negara yang memberi sokongan sepenuhnya dalam usaha yang dilaksanakan ini.

“UiTM akan terus belajar dan menimba pengalaman dari universiti lain kerana kita perlu bersama-sama belajar supaya inisiatif yang dilaksanakan universiti mampu membantu masyarakat terutama golongan OKU.

“Banyak perkara yang perlu dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak supaya hasrat memasyarakatkan universiti ini dapat dilebarkan ke seluruh negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

222
Kongsi :
Previous post Melaka atur strategi erat persahabatan Malaysia-China
Next post UiTM Melaka usul resolusi ganti istilah ‘OKU’
Ubah saiz-+=