Sorting by

×

MELAKA SEDIA JADI TUAN RUMAH TERBAIK WTD, WTC 2025

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BANDA HILIR 1 Januari – Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025) dan Persidangan Pelancongan Sedunia 2025 (WTC 2025) yang menyaksikan Melaka dipilih menjadi tuan rumah mewakili Malaysia secara rasminya dilancarkan tepat jam 12 tengah malam tadi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelancaran itu, sekali gus menjadi simbolik kepada kesiapsediaan Melaka untuk menjadi tuan rumah terbaik sambutan itu yang akan disambut pada September depan.

Menurut beliau, menuju September, pelbagai program akan dirangka dan diisi bagi mempromosikan Melaka sebagai destinasi pilihan penganjuran acara bertaraf dunia yang akan dihadiri delegasi dari lebih 155 buah negara itu.

“Langkah ini amat penting buat Malaysia dan Negeri Melaka sendiri agar kita bersiap sedia menerima tetamu dari pelbagai negara yang akan berkumpul di sini bagi membincangkan pasaran dan kemajuan pelancongan dunia.

“Pastinya Melaka akan berusaha menjadi tuan rumah yang terbaik menerusi pelbagai perancangan dan program yang akan kita atur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sambutan Ambang Tahun Baharu 2025 dan Pelancaran WTD 2025 di Persiaran Jalan Merdeka, di sini, malam tadi.

Terdahulu, pelancara WTD 2025 telah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan turut dihadiri Toh Puan Datuk Wira Asmah Ab Rahman.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, sempena ketibaan tahun baharu 2025, Kerajaan Negeri menzahirkan harapan agar kempen promosi pelancongan Melaka khususnya berkaitan WTD 2025 dan WTC 2025 akan diterus dan dipertingkatkan.

Ia termasuklah menberi nilai tambah kepada segala kejayaan dan pencapaian yang telah diraih sepanjang 2024.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

172
Kongsi :
Previous post 2025 MELAKA BAKAL ‘MENDUNIA’
Next post MELAKA AKAN UMUM ‘KHABAR GEMBIRA’ SEMPENA 20 FEBRUARI 2025
Ubah saiz-+=