
MELAKA SEDIA JADI TUAN RUMAH PERSIDANGAN WARISAN KEBANGSAAN
BANDA HILIR 19 Februari – Kerajaan Negeri bersedia untuk menjadi tuan rumah bagi persidangan National Heritage Conference pada penganjuran akan datang sekiranya Melaka sekali lagi dipilih oleh Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP).
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, selepas Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) terdapat tiga lagi pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini iaitu Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) yang boleh bersama-sama dengan MIP menganjurkan persidangan itu.
“Sekiranya MIP ini ingin menganjurkan lagi (persidangan) kita amat mengalu-alukan jika tahun ini bersama-sama dengan MBMB mungkin di masa akan datang boleh jalinkan kerjasama bersama PBT lain.
“Seperti yang diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh Tahun Melawat Melaka diteruskan sehingga 2026 justeru itu kita menggalakkan penganjuran pelbagai program atau persidangan di Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri merasmikan Majlis Makan Malam National Heritage Conference Tahun 2025 Sempena Memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu, di sebuah hotel, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Datuk VP. Shanmugam; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin serta barisan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Yang turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman; Presiden Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) TPr. Datin Noraida Saludin serta kenamaan lain.
Menurut Rais, persidangan tersebut disertai kira-kira 200 peserta antaranya daripada PBT dan perancang bandar dari seluruh negara.
“Selain MIP dan MBMB persidangan itu turut mendapat kerjasama daripada Majlis Antarabangsa untuk Monumen dan Tapak Warisan (ICOMOS) Malaysia.
“Persidangan ini turut memberi ruang kepada peserta untuk berkongsi pandangan dan idea mengenai keseimbangan antara pemeliharaan warisan serta pembangunan moden agar kedua-duanya dapat berkembang seiring tanpa menjejaskan identiti sejarah negara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.