Sorting by

×

Melaka sedia bantu masyarakat luar bandar tambah pendapatan – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

BUKIT KATIL 6 Oktober – Kerajaan Negeri akan bergerak seiring bersama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) ke arah memfokuskan pembangunan modal insan penduduk luar bandar khususnya golongan wanita.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, tumpuan yang diberikan itu adalah untuk memastikan kemampanan bagi menjana pendapatan dapat ditingkatkan demi menangani kos sara hidup menerusi aktiviti ekonomi tambahan, keusahawanan dan mencipta peluang pekerjaan di luar bandar.

“Usahawan perlu lebih kreatif dan mengaplikasikan teknologi dalam perniagaan mereka. Bukan sahaja dari segi pengeluaran produk malah dalam aspek pemasaran produk.

“Sehubungan itu, usahawan dan bakal usahawan perlu didedahkan dengan ilmu dan kemahiran teknologi yang relevan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmiannya pada Program Wacana Ilmu-Wanita Inspirasiku (WINS) di Rumah Melaka, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, menurutnya penganjuran program seperti WINS dilihat mampu memberi peluang dan pendedahan kepada kumpulan sasar terutamanya golongan wanita untuk turut serta bersama usahawan yang berjaya berkongsi pandangan dan pengalaman mereka.

“Golongan wanita berperanan penting dalam memastikan kesejahteraan kehidupan sesebuah keluarga dan masyarakat memandangkan mereka merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat.

“Menyedari pelbagai peranan wanita di dalam keluarga, masyarakat, ekonomi malahan politik, pelbagai usaha dan strategi telah dibentuk bagi melibatkan wanita secara berkesan dalam proses pembangunan supaya potensi wanita dapat dioptimumkan,” katanya.

Terdahulu pada penganjuran WINS itu, pelbagai aktiviti diadakan seperti gerai jualan dan pameran, pertandingan memasak chef cilik, peragaan, pertandingan pakaian KEMAS Fashion Technology (KFTC) dan pelbagai lagi.

Selain itu, Abdul Razak turut menyampaikan bantuan Peralatan Usahawan Program Peningkatan Pendapatan (PPP) dan diikuti Augerah Ikon KEMAS 2022 pada majlis penutup program terbabit.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3298
Kongsi :
Previous post Festival angkat seni warisan Melayu Melaka- Exco
Next post Majlis menghadap PM berkaitan mesyuarat pra-Kabinet – Istana Negara
Ubah saiz-+=