Melaka sasar sejuta pelancong – Jailani
AYER KEROH 13 Okt – Exco Pelancongan, Datuk Muhammad Jailani Khamis meletakkan sasaran sejuta pelancong akan datang ke Melaka sebelum 2021 melabuhkan tirainya, Disember depan.
Katanya, walaupun sebelum ini kerajaan negeri menyasarkan 5.6 juta pelancong ke Melaka sepanjang tahun ini, namun ia terpaksa ditukar kepada jumlah lebih relevan berikutan situasi pandemik COVID-19 yang kembali memuncak sejak awal tahun lalu.
Beliau bagaimanapun yakin sektor pelancongan di negeri ini kembali pulih dan mampu merekodkan lebih 5.6 juta pelancong pada tahun hadapan bertitik tolak daripada pelan pemulihan dan peralihan fasa endemik yang diumumkan kerajaan.
“Alhamdulillah, baru sahaja pengumuman rentas negeri diumumkan kita sudah merekodkan pemulihan sektor pelancongan sehingga 45 peratus dan saya yakin jika beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) nanti kita boleh mencapai sehingga 90 peratus pemulihan.
“Diharap menjelang akhir tahun ini kita dapat mencapai sasaran sejuta pelancong dan kalau bonus mungkin boleh mencapai sejuta lebih atau dua juta pelancong.
“Insya-Allah jika segala perancangan berjalan lancar, pelancongan Melaka kembali pulih tahun depan yang mana saya yakin kita mampu capai sasaran lebih 5.6 juta pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pejabat Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka di Kota Cemerlang, di sini yang turut dihadiri Pengurus Besar BPP Sa’ari Basiron.
Mengulas pembukaan semula pelancongan di Melaka bermula minggu ini, Muhammad Jailani berkata, pihaknya bukan sahaja bersedia dengan segala prosedur operasi standard (SOP), bahkan mengambil inisiatif mempamerkan jadual sanitasi di semua premis pelancongan.
Katanya, jadual itu wajib dipatuhi semua pengusaha pelancong selain perlu memastikan premis mereka disanitasi setiap tiga jam sekali.
“Saya tak tahu prosedur di negeri lain, tetapi di Melaka saya mahu perkara ini dipatuhi semua yang mana semua premis perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya 30 minit untuk kerja pembersihan dan sanitasi.
“Ini dilakukan bukan sahaja demi keselamatan pengunjung, tetapi juga operator, pekerja premis dan orang ramai bagi memastikan tiada penularan COVID-19 di kawasan pelancongan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Muhammad Jailani berkata, pihaknya juga akan memperkenalkan pelbagai slogan baharu dalam usaha menarik kehadiran pengunjung, sekali gus merancakkan sektor pelancongan Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.