MELAKA SASAR SEDIAKAN 1,000 PARAKOM

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

AYER KEROH 3 Disember – Kerajaan Melaka menyasarkan untuk melatih sehingga 1,000 anggota Sukarelawan Paramedik Komuniti Melaka (PARAKOM), kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, jumlah keanggotaan itu membolehkan setiap kampung di Negeri Melaka mempunyai sekurang-kurasngnya tiga orang PARAKOM terlatih bagi memberikan perkhidmatan bantuan kecemasan kepada orang ramai.

Ab Rauf berkata, peranan PARAKOM sebagai pasukan rawatan awal amat besar dan penting dalam membantu masyarakat yang ditimpa musibah seperti kemalangan jalan raya atau bencana alam.

“Kerajaan Negeri sasar 1,000 orang PARAKOM bagi seluruh Melaka dan setiap satu kampung perlu ada tiga orang PARAKOM.

“Saya menyasarkan sebelum Februari 2025, segala kelengkapan PARAKOM seperti pakaian, pembekalan ubat dan peralatan akan lengkap sepenuhnya kerana Kerajaan Negeri memperuntukkan RM500,000 untuk perkara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pembangunan Ahli Jawatankuasa dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Melaka bagi sesi 2023-2025 dan Penyerahan Sijil Penubuhan Civil Defense Auxiliary Emergency Response Team (CDA-ERT) Negeri Melaka, di sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri; Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Datuk Aminurrahin Mohamed.

Mengulas lanjut Ketua Menteri berkata, setiap Japerun juga dibekalkan dengan alat defibrilator luaran automatik (AED) bagi membolehkan anggota PARAKOM memberi bantuan awal kepada mangsa serangan jantung.

“Jika ada keperluan anggota PARAKOM boleh guna AED untuk rawat mangsa serangan jantung, bantuan awal amat penting sementara menunggu ambulans dan pasukan perubatan tiba di lokasi kejadian,” katanya.

Setakat ini, seramai 850 orang telah menyertai sukarelawan PARAKOM dan setiap mereka akan mewakili 339 JPKK dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Baharu (JPKKB) dalam Negeri Melaka.

Sementara itu, dalam majlis tersebut turut menyaksikan seramai 4,505 orang ahli JPKK telah dilantik dan seramai 63 orang terdiri daripada anggota JPKK negeri ini telah tamat latihan bersama APM, sekali gus menerima Sijil Penubuhan CDA-ERT yang disampaikan sendiri oleh Ab Rauf.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

666
Kongsi :
Previous post TAMAN PERMAINAN KANAK-KANAK MESRA AUTISME PERTAMA DI MELAKA
Next post KM PRIHATIN NASIB PESAKIT BUAH PINGGANG
Ubah saiz-+=