MELAKA SASAR SEDIA 300 STESEN PENGECAS EV
ALOR GAJAH 13 Disember – Pemilik kenderaan elektrik (EV) tidak perlu bimbang untuk menjadikan Melaka sebagai destinasi percutian memandangkan terdapat 132 stesen pengecas EV telah disediakan di seluruh negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah itu akan bertambah dalam tempoh dua tahun dengan sasaran sebanyak 300 stesen pengecas disediakan di lokasi-lokasi strategik.
Menurut beliau, usaha itu akan dilakukan Kerajaan Negeri dengan kolaborasi bersama pihak swasta bagi menjadikan negeri ini mesra kenderaan elektrik dalam negara.
“Kita bukan sahaja mahu menjadikan negeri ini sebagai negeri pilihan pemilik EV untuk bercuti, tetapi juga dalam menjadi sebuah negeri rendah karbon menjelang 2035.
“Jadi kita menggalakkan lebih ramai pelabur bukan sahaja dalam negara tetapi juga dari luar negara untuk membuat pelaburan menyediakan stesen pengecas EV ini supaya perkembangan inisiatif rendah karbon dapat kita perluaskan di Melaka,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Penghantaran Kereta Cekap Tenaga atau Energy Effiecient vehicles (EEV) Ke-1,000 unit oleh Kumpulan EP Manufacturing Berhad (EPMB) di Kawasan Perindustrian HICOM Pegoh, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer srrta Timbalannya Datuk Zahari Abd Kalil; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Pengerusi Eksekutif Kumpulan EPMB Hamidon Abdullah serta lain-lain kenamaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.