Sorting by

×

Melaka sasar penjanaan tenaga lebih tinggi

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 7 Ogos – Kerajaan negeri menyasarkan lebih banyak penjanaan tenaga boleh diperbaharui dapat dilaksanakan di Melaka.

Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata, ia berikutan kadar peratusan penjanaan tenaga di negeri ini masih rendah sekitar lima peratus.

“Justeru, kerajaan negeri menyasarkan lebih banyak bangunan di Melaka mengambil inisiatif memasang solar atas bumbung bangunan masing-masing.

“Selain menyasarkan seluruh bangunan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dipasang dengan Solar Atas Bumbung dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Seminar Penjanaan Tenaga Boleh Diperbaharui Solar Fotovolta Dan Majlis Menandatangi Pertukaran Surat Niat antara Perbadanan Teknologi Hijau Melaka dan Micro Energy Holdings Sdn. Bhd di Hotel Amverton, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Wira Ar Ismail Othman.

Sulaiman telah mengarahkan Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) menjalankan tanggungjawab untuk menerajui inisiatif itu.

“Tahniah kepada Micro Energy Holdings Sdn. Bhd. sudi bekerjasama dengan PTHM bagi melaksanakan inisiatif pembangunan Solar Atas Bumbung di Melaka.

“Kerjasama ini salah satu model pembiayaan antara kerajaan dan swasta dalam usaha mempercepatkan ‘adoption of technology’ di Negeri Melaka,” katanya.

Katanya, salah satu inisiatif hijau sedang kerajaan negeri laksanakan bagi menggalakkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui daripada sumber cahaya matahari iaitu ‘Solar Fotovolta’.

“Beberapa inisiatif dilaksanakan menggunakan Solar Fotovolta yang diterajui Kerajaan Pusat seperti FeedIn Tariff (FIT), Large Scale Solar (LSS), Net-Energy Metering (NEM) dan terkini Supply Agreement For Renewable Energy (SARE).

“Melaka perlu serius dan letakkan sasaran perkembangan teknologi sebagai agenda masa kini dan akan datang.

“Justeru mekanisme pemindahan teknologi dengan memilih teknologi tertentu perlu diwujudkan,” katanya lagi.

Hadir sama, Ketua Pengarah Eksekutif PTHM, Prof Datuk
Dr Abu Bakar Mohamad Diah; Pengerusi Micro Energy Holdings (M) Sdn. Bhd.; Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar (Bersara) dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu.

Views:

761
Kongsi :
Previous post Pemandu UTeM tingkat kemahiran memandu
Next post Cari bapa jadi wali nikah
Ubah saiz-+=