Sorting by

×

Melaka sasar nilai pelaburan RM5 bilion tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 1 April – Melaka menyasarkan nilai pelaburan negeri ini meningkat RM5 bilion pada tahun ini berbanding hampir RM2 bilion yang diperoleh tahun lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, walaupun berdepan cabaran sukar sepanjang tempoh pandemik COVID-19, namun beliau percaya sasaran itu cukup realistik untuk dicapai Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan agensi-agensi berkaitan.

SULAIMAN melawat galeri ketika merasmikan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PKNM di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Katanya, kemasukan pelabur ke negeri ini adalah cukup penting, bukan sahaja untuk menjana ekonomi negeri bahkan juga membuka peluang pekerjaan kepada anak Melaka.

“Nilai pelaburan sehingga RM5 bilion itu antara sasaran utama kita khususnya dalam bidang pembuatan. Insya-Allah kita boleh mencapai sasaran itu walaupun berdepan tempoh yang agak sukar daripada tahun lalu.

“Semua ini penting kerana apabila pelabur masuk, maknanya adalah peluang-peluang pekerjaan baharu serta ruang perniagaan yang akan dikecapi rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PKNM di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Hasim Hasan, Timbalan Pengerusi PKNM Datuk Roslan Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif PKNM Datuk Azmi Hussain dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

SULAIMAN melihat pameran model pembangunan yang bakal dibangunkan oleh PKNM.

Sulaiman berkata, sejak 50 tahun lalu PKNM memainkan peranan cukup penting sebagai nadi utama meningkatkan ekonomi negeri.

Dari tahun ke tahun ujarnya, PKNM berjaya mengubah landskap negeri Melaka menerusi pembangunan berimpak tinggi, selain turut mewujudkan usahawan-usahawan baharu di negeri.

Justeru, beliau berharap untuk tempoh 50 tahun akan datang, PKNM akan terus memacu perkembangan ekonomi di negeri ini seiring peredaran zaman, selain menjadikan Melaka sebagai sebuah destinasi pelaburan terulung di negara ini.

“Saya berharap PKNM menerusi Invest Melaka dapat mencari pelabur-pelabur baharu serta pada masa sama mempromosikan Melaka sebagai sebuah destinasi pelaburan yang selamat untuk dikunjungi di negara ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

695
Kongsi :
Previous post MOSTI, KKM bermesyuarat putuskan dasar untuk hospital swasta beli vaksin
Next post Tiga hala tuju baharu PKNM bagi tempoh 50 tahun akan datang
Ubah saiz-+=