Sorting by

×

MELAKA SASAR LEBIH 100,000 MANFAATKAN BAS.MY

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KOTA LAKSAMANA 29 Oktober – Perkhidmatan Bas Berhenti-henti, BAS.MY disasar akan dimanfaatkan lebih 100,000 rakyat dan pelancong ke Melaka dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkhidmatan bas memberi nilai tambah dalam sektor pengangkutan awam negeri apabila ia berjaya memperluaskan jaringan hubungan di antara daerah-daerah dalam Negeri Melaka menerusi 51 buah bas yang disediakan.

Jelas beliau, selain memudahkan rakyat, perkhidmatan itu juga dapat mempertingkatkan lagi produktiviti ekonomi dalam Negeri Melaka.

“Sama ada dalam kaedah menggunakan untuk ke tempat kerja ataupun ke mana jua destinasi, perkhidmatan ini dapat menghubungkan rakyat di seluruh negeri ini pada harga yang murah.

“Pada masa sama, perkhidmatan ini juga dapat memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan, di mana pelancong dan pengunjung juga boleh menggunakan bas ini untuk melihat keindahan Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti BAS.MY Melaka di Morten Walk, Kampung Morten, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan Anthony Loke; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ab Rauf mewakili Kerajaan Negeri turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) kerana telah menyediakan peruntukan RM83.76 juta untuk tempoh lima tahun bagi melaksanakan program BAS.MY di Melaka.

Menurut beliau, peruntukan tersebut amat membantu rakyat Melaka yang sentiasa menggunakan perkhidmatan awam untuk ke sekolah, keluar bekerja dan ke mana jua lokasi dengan lebih mudah dan menjimatkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

707
Kongsi :
Previous post GUNA BAHAN TERBUANG CIPTA ‘DAPILA’
Next post MAYAT WANITA DIPERCAYAI LEMAS DITEMUKAN DI PANTAI TANJUNG BIDARA
Ubah saiz-+=