Sorting by

×

Melaka sasar kutip zakat fitrah bernilai RM5.9 juta

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 10 Mac – Kerajaan Negeri menerusi Zakat Melaka menyasarkan jumlah kutipan zakat fitrah berjumlah RM5.9 juta pada tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata sasaran itu diletakkan susulan prestasi keseluruhan kutipan zakat yang memberangsangkan pada tahun sebelumnya.

Katanya, pada tahun lalu Zakat Melaka melepasi sasaran yang ditetapkan dengan kutipan zakat berjumlah RM128.3 juta.

“Jumlah ini termasuk kutipan zakat fitrah tahun lalu iaitu sejumlah RM5.75 juta berbanding tahun 2022 iaitu sejumlah RM5.6 juta.

“Saya percaya, dengan kesungguhan amil yang dilantik serta kerjasama daripada semua pihak dengan mempelbagaikan kaedah dan medium pembayaran zakat fitrah, ia dapat mempermudahkan lagi urusan atau proses pembayaran zakat.

“Insya-Allah, Zakat Melaka pasti akan mencatatkan prestasi kutipan zakat fitrah yang cemerlang lagi tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya melancarkan Program Ihya Ramadan 1445H peringkat negeri bertemakan ‘Perpaduan Teras Malaysia MADANI’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Turut hadir, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Mufti Melaka, Datuk Wira Abd Halim Tawil serta kenamaan lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

757
Kongsi :
Previous post ‘Dari Hati Membawa Ke Syurga’ tema Bulan Pelancongan Islam
Next post Bayi dicampak dari kondominium: Polis rakam keterangan dua individu
Ubah saiz-+=