Sorting by

×

Melaka sasar 70 peratus penduduknya divaksin menjelang Disember 2021

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

BUKIT KATIL 19 April. – Melaka menyasarkan seramai 70 peratus rakyat negeri ini selesai divaksin menjelang Disember ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, untuk mencapai sasaran itu, kerajaan negeri berharap Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang kini memasuki Fasa 2 berlangsung dengan baik dan mencapai sasaran ditetapkan.

Bagaimanapun, beliau mengakui wujud sedikit kebimbangan apabila hanya 42 peratus atau 294,597 berbanding 701,000 jumlah keseluruhan rakyat di negeri ini mendaftar sebagai penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera biarpun berbagai program kesedaran mengenainya dijalankan.

SULAIMAN… Melaka sasar 70 peratus rakyat negeri ini selesai divaksin menjelang Disember tahun ini.

“Antaranya, penglibatan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) daerah, Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) dan juga Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sebagai ejen penyampaian maklumat keperluan dan kepentingan pendaftaran MySejahtera di peringkat akar umbi.

“Selain itu, kita turut menggerakkan aktiviti promosi di pasar raya, media sosial serta pasar tani dan pasar Ramadan,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin Melaka Tengah di Dewan Tun Ali, di sini, hari ini.

Selain itu, Sulaiman berkata, kerajaan negeri juga kini sedang memperkasakan program kesedaran imunisasi COVID-19 kepada masyarakat Orang Asli di negeri ini melalui kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Jelasnya, program penerangan berkaitan program imunisasi amat penting bagi memastikan masyarakat Orang Asli menerima maklumat yang betul serta tepat dan tidak menolak untuk menerima vaksin.

“Kita juga akan meneliti keperluan mewujudkan PPV bergerak bagi masyarakat Orang Asli atau warga emas serta orang kurang upaya (OKU) yang mempunyai masalah dari segi logistik dan sebagainya.

“Ini kerana saya mahu memastikan tiada seorang pun yang akan terpinggir daripada menerima vaksin COVID-19 dalam usaha kita mewujudkan imuniti berkelompok yang penting untuk kesejahteraan hidup penduduk Melaka,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

465
Kongsi :
Previous post KPDNHEP Melaka buka tiga kertas siasatan isu kenaikan harga ayam
Next post Warga emas lebih 80 tahun ‘steady’ terima suntikan vaksin
Ubah saiz-+=