Melaka sasar 400 syarikat terajui perusahaan eksport

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 2 Julai – Kerajaan Melaka menyasarkan sebanyak 400 syarikat akan berdaftar di bawah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi menerajui perusahaan eksport pada masa akan datang.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, setakat ini, sebanyak 268 syarikat sudah berdaftar dan dijangka jumlah itu akan terus bertambah menerusi penganjuran Hari Eksport 2024 yang berlangsung selama dua hari di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, bermula hari ini.

Menurut beliau, seiring dengan pertambahan syarikat berdaftar dengan MATRADE, nilai eksport di negeri ini juga dijangka akan meningkat memandangkan Melaka sudah dikenali sebagai negeri pilihan berikutan dasar mesra pelabur yang diterapkan.

“Kedudukan Melaka itu sendiri berada di tengah-tengah antara Johor dan Selangor turut memberi kelebihan kerana syarikat boleh memilih untuk mengurus pelaburan dan mengeluarkan produk mereka menggunakan pelabuhan yang ada di sebelah selatan tanah air iaitu di Tanjung Pelepas atau Singapura, mahupun di Pelabuhan Klang.

“Ia menyebabkan jumlah pelaburan yang datang ke Melaka bertambah kerana ia memberi pulangan yang agak besar dari sudut eksport iaitu mencecah tiga kali ganda daripada nilai pelaburan asal.

“Selepas ini, kita akan melihat produktiviti di Negeri Melaka akan turut bertambah memandangkan suasana politik yang stabil akan turut membantu perkembangan ekonomi yang stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Eksport Melaka 2024 di MITC, di sini.

Hadir sama, Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh dan Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Berhad Datuk Ginie Lim Siew Lin; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Akselarasi Eksport) MATRADE Abu Bakar Yusof; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) MATRADE Mansor Shah Wahid dan lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, jumlah perdagangan di Negeri Melaka pada Januari hingga April tahun ini telah mencatat kenaikan sebanyak 24.4 peratus berbanding tempoh sama pada 2023.

Bagaimanapun ujar beliau, jumlah eksport di Melaka pada 2023 dan suku pertama 2024 mencatat penurunan berikutan pelbagai isu seperti peperangan perdagangan dan geopolitik yang berlaku di seluruh dunia.

Meskipun begitu, Ketua Menteri melaungkan keyakinan bahawa kempen galakan seperti Hari Eksport, dapat menyumbang kepada peningkatan semula prestasi nilai eksport memandangkan negeri Melaka mempunyai banyak syarikat yang berpotensi tinggi terutamanya industri utama yang telah kukuh dan mampu menjana kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

110
Kongsi :
Previous post Bayar cukai taksiran, elak harta disita – MPJ
Next post MATRADE yakin Melaka miliki potensi besar
Ubah saiz-+=