Sorting by

×

MELAKA SASAR 10 PERATUS MASYARAKAT SERTAI SRS

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

KUALA LINGGI 11 Januari – Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Melaka menyasarkan 10 peratus masyarakat di negeri ini menyertai Kempen 1 Keluarga 1 Anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS).

Pengarahnya, Intan Suhana Yusuff berkata, kempen tersebut merupakan antara inisiatif di bawah Kementerian Perpaduan Negara menerusi JPNIN bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya penjagaan isu keselamatan di kawasan komuniti.

Menurutnya, JPNIN turut menyasarkan penglibatan lebih ramai golongan belia dalam program itu.

“Di Melaka sahaja ada 191 SRS, manakala kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi mempunyai sembilan SRS, jadi kami sudah menggerakkan ‘Kempen 1 Keluarga 1 Anggota SRS’ sejak Disember 2024 lalu bagi menggalakkan penyertaan masyarakat negeri ini terutamanya dalam kalangan belia.

“Harapan kami ialah untuk memastikan sekurang-kurangnya 10 peratus masyarakat negeri ini sertai kempen tersebut,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Remaja Sihat, Ceria dan Harmoni dan Mini Karnival Perpaduan Rukun Tetangga (RT) Progresif Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) DUN Kuala Linggi 2025 di perkarangan Japerun Kuala Linggi, di sini, hari ini.

Majlis perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Datuk Ngwe Hee Sem dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah.

Dalam pada itu, Intan Suhana memaklumkan, selain ‘Kempen 1 Keluarga 1 Anggota SRS’, turut diadakan Ziarah Kasih bagi menyampaikan sumbangan kebajikan di bawah inisiatif Komuniti Rahmah.

Pada masa sama, turut diadakan program sampingan seperti sukan rakyat serta ‘food unite’ yang disertai segenap lapisan masyarakat daripada pelbagai umur serta bangsa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

112
Kongsi :
Previous post BAJET 2025 MELAKA CAKNA ORANG ASLI
Next post 15,000 DIJANGKA ‘SERBU’ PANTAI TANJUNG BIDARA
Ubah saiz-+=