
MELAKA SASAR 10 PENERIMA KAKI PALSU CETAKAN 3D TAHUN INI
REMBIA 27 Mac – Orang Kurang Upaya (OKU) tanpa caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berpeluang untuk menerima sumbangan kaki palsu cetakan 3D yang dihasilkan Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata untuk tahun ini disasarkan seramai 10 penerima akan mendapat manfaat menerusi inisiatif itu.
Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, merangkap Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia berkata, tajaan dan sokongan daripada agensi Kerajaan atau pihak swasta amat diperlukan bagi merealisasikan sasaran itu.
“Contoh, sepasang kaki palsu dianggarkan menelan belanja RM10,000, jadi kita memerlukan kira-kira RM100,000 untuk merealisasikan hasrat itu buat 10 penerima.
“Kerajaan Negeri kita sedang berbincang dengan Jabatan Kewangan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memberikan pengecualian cukai kepada penaja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Iftar Jamaie Bersama YB Along di Japerun Rembia, di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata, mereka yang memerlukan sumbangan kaki palsu boleh berhubung dengan pemimpin setempat, Japerun atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kita akan mengumpul data pemohon yang memerlukan sumbangan ini sebelum penilaian dilakukan bagi memastikan mereka yang benar-benar layak dibantu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.