Melaka sambut baik usaha tubuh IMFC
BANDA HILIR 29 Februari – Melaka menyambut baik hasrat Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk menubuhkan Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC) yang berperanan sebagai pemudah cara berkaitan pelaburan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedia memberi kerjasama penuh kepada IMFC.
Katanya, usaha itu bagi menyokong hasrat Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, seterusnya menjadikan Malaysia, khususnya Melaka sebagai negeri mesra pelabur serta mesra perniagaan.
“Bagi Melaka kita ada Melaka Invest yang berperanan menjadi pintu pertama kepada pelabur untuk membuat pelaburan di negeri ini.
“Peranan mereka ini menjadi tonggak utama untuk memudah cara pelabur-pelabur dengan membantu percepatkan proses di mana proses-proses ini akan disahkan oleh MIDA.
“Saya mengalu-alukan usaha MITI untuk tubuhkan IMFC sebagai pusat pemudah cara berkaitan pelaburan,” kata Ketua Menteri pada sidang media selepas merasmikan Melaka Industrial Night di sebuah hotel, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Hadir sama, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Turut hadir, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Timbalan Pengerusi Perbadanan Melaka (MCorp), Datuk Khaidhirah Abu Zahar serta Ketua Pegawai Eksekutif MCorp, Datuk Mohd Yusof Abu Bakar.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.