Sorting by

×

Melaka salur peruntukan hampir RM600,000 untuk rumah ibadat bukan Islam

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

SERI NEGERI 7 November – Sebanyak 16 Rumah Ibadat Selain Islam (RISI) yang berdaftar di negeri ini menerima peruntukan berjumlah RM591,750 bagi fasa pertama.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, peruntukan itu disalurkan bagi kerja-kerja pembaikan, penyelenggaraan dan kecemasan rumah ibadat tersebut.

Pada masa sama, ia juga merupakan sebahagian daripada matlamat Kerajaan untuk memperkasa perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, selain memupuk keharmonian dan kesejahteraan menuju Negeri Lestari.

“Peruntukan bagi kerja-kerja pembaikan, penyelenggaraan dan kecemasan ini adalah sebanyak RM1.3 juta, dan bagi fasa pertama, sebanyak 16 persatuan rumah ibadat menerima peruntukan melibatkan sejumlah RM591,750.

“Selebihnya yang berdaftar akan diberikan pada fasa kedua, namun kita akan memperhalusi permohonan mereka bagi memastikan segala garis panduan ditetapkan dipatuhi pemohon.

“Ada sesetengah rumah ibadat tidak menerima sumbangan atas beberapa sebab seperti tidak berdaftar dengan kita, membuat rumah ibadat menggunakan kediaman persendirian, tiada akaun bank dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Rumah Ibadat Selain Islam (RISI) Tahun 2022 di Auditorium Seri Negeri di sini, hari ini.

photo1667795906 (1)
ANTARA rumah ibadat yang menerima peruntukan.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan; Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, V.P. Shanmugam dan Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem.

Mengulas lanjut, Sulaiman turut meminta RISI di negeri ini agar berdaftar dengan Kerajaan Negeri bagi memudahkan urusan menyalurkan peruntukan kewangan bagi kerja-kerja membaik pulih rumah ibadat.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 168 RISI telah berdaftar dengan Kerajaan Negeri berbanding jumlah keseluruhannya sebanyak 428 rumah ibadat di negeri ini.

“Kerajaan Negeri berusaha bagi memastikan rumah-rumah ibadat ini terjaga supaya aktiviti kerohanian dan keagamaan dapat dijalankan dengan lebih selesa untuk penganut yang beragama bukan Islam.

“Sebab itu saya menyeru selebihnya atau selain daripada 168 rumah ibadat ini eloklah berdaftar, kalau berdaftar dengan Kerajaan Negeri sekiranya ada peruntukan daripada kita atau Kerajaan Persekutuan mudah untuk disalurkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2593
Kongsi :
Previous post Jangan gunakan masjid, surau untuk berpolitik – KM
Next post UTeM garis lima teras ke arah jadi universiti teknikal terkemuka dunia
Ubah saiz-+=