
MELAKA SAH DIPILIH LOKASI PELANCARAN VM 2026
BANDARAYA MELAKA 20 Mac – Kerajaan Persekutuan bersetuju memilih Melaka sebagai lokasi pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026).
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pelancaran itu dijangka akan diadakan pada Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) dan Persidangan Pelancongan Sedunia 2025 (WTC2025)pada September depan.
Jelas beliau, pemilihan Melaka turut dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pemilihan itu bukan lagi dipertimbangkan, tetapi sudah diluluskan kerajaan yang memilih Melaka sebagai lokasi pelancaran memandangkan negeri ini merupakan tuan rumah WTD dan WTC 2025.
“Lokasi bagi majlis pelancaran itu nanti akan diputuskan Kerajaan Negeri Melaka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan Melaka 2025 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Shaharuddin Abu Sohot serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, King Sing turut meminta kepada semua agar sentiasa bersama-sama menyokong pembangunan sektor pelancongan yang juga antara nadi ekonomi negara.
Katanya, kempen promosi VM 2026 perlulah dilakukan secara bersama tanpa perlu ada mana-mana pihak yang cuba mempolitikkan sesuatu isu hingga boleh menjejaskan negara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.