Melaka River Cruise sasar kutip hasil RM26.5 juta tahun ini
AYER KEROH 18 April – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menyasarkan lebih 800,000 pengunjung menaiki bot Melaka River Cruise (MRC) pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Datuk TPr. Murad Husin berkata, dengan jumlah itu, pihaknya menyasarkan kutipan hasil sebanyak RM26.5 juta, meningkat berbanding RM22.1 juta tahun lalu.
“Kutipan hasil itu melepasi sasaran tahun 2022 dengan kedatangan pengunjung seramai 792,215 orang.
“Sasaran tersebut tidak mustahil boleh dicapai kerana terdapat beberapa produk baharu yang akan dimulakan pada tahun ini dan ada di antaranya akan siap menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Antaranya Taman Tema Sigua, Sungai Melaka Fasa 2 selain penjualan pakej-pakej terbaharu PPSPM yang akan dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa PPSPM di sebuah hotel, di sini, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Saleh serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Murad berkata PPSPM yakin dengan pencapaian suku tahun yang positif akan menjadikan sasaran ditetapkan menjadi kenyataan.
“Hasil suku tahun 2023 bermula Januari hingga 16 April, MRC telah menerima pengunjung seramai 220,091 orang berbanding tempoh sama pada 2022 iaitu hanya seramai 173,364.
“Di mana peningkatan sebanyak 47,727 orang atau 28 peratus,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.