Sorting by

×

Melaka River Cruise sasar 700,000 pengunjung tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

BANDARAYA MELAKA 26 April- Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menyasarkan seramai 700,000 pengunjung menaiki bot Melaka River Cruise (MRC) pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutiff Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk Murad Husin berkata sasaran itu berdasarkan pencapaian pada suku pertama dari bulan Jan ke Mac 2022.

Katanya, pihaknya yakin jumlah itu dapat dicapai berikutan dalam tempoh tiga bulan itu MRC telah merekodkan kehadiran seramai 167,688 pengunjung melebihi sasaran iaitu 145,000.

“Pencapaian ini tidak termasuk sembilan hari penutupan operasi pada bulan Jan dan Feb kerana faktor cuaca, hujan lebat dan arahan kuarantin dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pencapaian suku tahun pertama ini merupakan prestasi terbaik bagi awal tahun 2022. Selain itu, PPSPM juga dalam proses menaiktaraf imej korporat bagi memastikan produk PPSPM berada pada tahap antarabangsa.

“Elemen baharu menjadi fokus seperti keterampilan, pakaian korporat baharu, perkhidmatan, naik taraf laman web, promosi, kemudahan infrastruktur surau, ruang menunggu dan pelbagai lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Berbuka Puasa dan Anugerah Pekerja Cemerlang (APC) PPSPM di Hotel La Crista, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi PPSPM, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Zaidi Johari serta kenamaan lain.

AYER KEROH 25 April 2022. Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Datuk Murad Husin beramah mesra bersama kakitangan PPSPM sempena Majlis Berbuka Puasa dan Anugerah Pekerja Cemerlang Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) di Hotel La Crista, Melaka. Turut bersama Exco Kanan Pelaburan dan Perindustrian merangkap Timbalan Pengerusi PPSPM, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. Foto Iqmal Haqim Rosman

Dalam majlis itu juga seramai lapan kakitangan PPSPM menerima APC atas prestasi yang memberangsangkan dalam melaksankan tugasan sepanjang tahun 2021.

Mengulas lanjut, Murad berkata sejak tahun 2011 sehingga 2018, MRC telah menerima lebih 1 juta pengunjung setiap tahun.

Katanya, jumlah keseluruhan sejak mulai beroperasi pada tahun 2006 sehingga 19 April 2022 adalah seramai 12,091,905 pengunjung.

“Rekod pencapaian pelancong pada tahun 2021 sahaja seramai 2.6 juta pengunjung dan dari jumlah itu MRC mencatatkan kehadiran pelancong tertinggi iaitu seramaj 319,671 pengunjung diikut Zoo Melaka dan Menara Taming Sari.

“Apabila negara beralih ke Fasa Endemik dan ekonomi dilihat semakin pulih, kita harapkan sektor pelancongan Melaka akan terus melonjak naik khususnya MRC di bawah kelolaan PPSPM,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2567
Kongsi :
Previous post Perak benarkan Solat Sunat Aidilfitri dalam kawasan perumahan
Next post Tajuk-Tajuk Utama Berita: Selasa, 26 April 2022
Ubah saiz-+=