Sorting by

×

Melaka River Cruise perkenal ‘bot cinta’

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

PENGKALAN RAMA 12 Dis – Melaka River Cruise (MRC) memperkenalkan pakej bot ‘Everlasting Love’ buat pasangan yang mahu meraikan sambutan hari istimewa mereka secara romantik mengelilingi Sungai Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, menerusi pakej tersebut ia bakal menjadikan Melaka sebagai lokasi bulan madu romantis buat pasangan dari dalam dan luar negara.

“Satu produk yang istimewa iaitu Pakej Everlasting Love Boat yang pasti menjadi pilihan utama kepada pasangan romantis untuk menyambut hari-hari istimewa mereka seperti ulang tahun perkahwinan, sambutan hari jadi, persediaan melamar bakal isteri dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Pakej Everlasting Love Melaka River Cruise anjuran Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) di Taman Rempah, malam ini.

Hadir sama Exco Pelancongan Datuk Muhammad Jailani Khamis, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Kamel Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Datuk Murad Husin dan lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, orang ramai sudah boleh membuat tempahan bermula sekarang untuk pakej Everlasting Love itu.

Untuk rekod, terdapat tiga pakej bot ‘Everlasting Love’ yang ditawarkan iaitu Pakej Emerald, Pakej Gold dan Pakej Diamond.

Untuk Pakej Emerald berharga RM750, pasangan bakal dibawa menaiki bot selama satu jam 30 minit berserta pakej makan malam di atas bot dengan iringan muzik, bergambar dengan pasangan, bunga dan baucer diskaun Melaka River Cruise.

Pakej Gold berharga RM1,200 pula menawarkan perjalanan di atas bot selama dua jam berserta pakej makan malam di atas bot dengan persembahan oleh kumpulan pemuzik, bergambar dengan pasangan, jambangan bunga dan baucer diskaun Melaka River Cruise.

Manakala untuk Pakej Diamond yang merupakan pakej eksklusif menawarkan ruangan makan malam yang dihiasi dekorasi romantis, persembahan musikal, bunga ros dan coklat, dan hadiah istimewa untuk perjalanan 2 jam 30 minit mengelilingi Sungai Melaka dengan harga RM2,000 sahaja.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2467
Kongsi :
Previous post SKM komited bantu pulih sektor pelancongan tahun depan
Next post Selepas ‘bot cinta’ Melaka akan perkenal ‘bot loncat-loncat’ – KM
Ubah saiz-+=