MELAKA RIVER CRUISE LARIS MALAM 31 OGOS

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BANDARAYA MELAKA 1 September – Jualan tiket Melaka River Cruise (MRC) bagaikan ‘pisang goreng panas’ apabila tidak putus-putus didatangi pengunjung yang tidak mahu ketinggalan menikmati tawaran tiket berharga RM10 bersempena Program Bila Larut Malam Edisi 31 Ogos.

Seawal jam 8.30 malam, pengunjung sudah mula ke kaunter tiket di Dataran Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) bagi menikmati tarikan menelusuri Sungai Melaka pada waktu malam.

Pengunjung Noor Ain Jaslin, 31, berkata, sebagai orang Melaka sudah pasti dia ingin memberi sokongan terhadap inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam merancakkan lagi sektor pelancongan negeri.

Katanya, dengan hanya RM10 sahaja semua orang berpeluang menaiki bot MRC sambil menikmati suasana malam di sepanjang Sungai Melaka.

“Akhirnya sampai juga ke sini untuk sama-sama menyokong Program Bila Larut Malam ini, memang sudah tahu dari awal cuma sebelum ini tidak berkesempatan.

“Kebetulan ada saudara dari Johor datang ke Melaka jadi saya bawa mereka sekali untuk sama-sama menaiki bot, paling seronok adalah anak-anak,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di kaunter tiket MRC di Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM).

Menurutnya, menerusi program sebegitu ia akan menarik lebih lagi pelancong ke Melaka sekaligus merancakkan sambutan Tahun Melawat Melaka 20204 (TMM2024).

“Apabila orang dapat tahu mereka hanya perlu bayar RM10 daripada harga asal yang jauh agak mahal sudah pasti mereka akan rebut peluang ini,” katanya.

Bagi pelancong, Parizan Mahmud, 60, dari Kajang, Selangor berkata, penambahan waktu operasi di lokasi tumpuan sempena Melaka Bila Larut Malam membuatkan pengunjung mempunyai jarak waktu yang lebih lama untuk meluangkan masa di suatu tempat selain tidak perlu tergesa-gesa.

“Saya sampai di Melaka tengah malam semalam dan siang tadi sudah ke beberapa tempat termasuk Pantai Siring, untuk sebelah malam pula kami luangkan masa untuk menaiki bot.

“Ini adalah promosi yang baik dari pihak kerajaan untuk menarik lebih ramai ke Melaka, sebenar sudah beberapa kali saya bercuti ke Melaka tetapi tidak jemu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

379
Kongsi :
Previous post MALAM 31 OGOS DI MENARA TAMING SARI LEBIH MERIAH
Next post PASAR TERAPUNG, PASAR PINK JADI TUMPUAN ‘KAKI MAKAN’
Ubah saiz-+=