Melaka rencana lebih banyak produk pelancongan baharu
BANDA HILIR 13 Julai – Kerajaan Negeri sedang merencana lebih banyak produk pelancongan baharu dalam mewajah Melaka sebagai destinasi pilihan pelancong.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, usaha itu dilakukan demi memperhebat sektor pelancongan negeri, sekali gus menggerakkan potensi Melaka ke arah yang lebih dinamik dan lestari.
Katanya, penganjuran Pesta Kebaya dan Busana Klasik @Melaka Heritage Festival misalnya, merupakan antara acara baharu yang diperkenalkan bagi menggamit kehadiran pelancong dan pada masa sama dapat mengangkat nilai warisan budaya ke satu tahap lebih tinggi.
“Selepas ini, Kerajaan Negeri Melaka bakal menganjurkan pelbagai aktiviti menarik sepanjang bulan Julai ini dengan tawaran- tawaran istimewa, antaranya, Malakka Dutch Festival bermula pada 13 hingga 21 Julai 2024 di Kompleks Stadthuys, Banda Hilir.
“Pada 26 hingga 28 Julai pula akan diadakan Karnival D’Bendang di Kem Benteng Negara, Sungai Rambai dan seterusnya Pesta Pantai Melaka pada 27 hingga 28 Julai di Tanjung Bidara.
“Selain itu, tawaran untuk menyertai Cabutan Bertuah masih lagi berlangsung dan banyak lagi hadiah menanti pengunjung dengan hanya membeli cenderamata khas Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya merasmikan Pesta Kebaya dan Busana Klasik@ Melaka Heritage Festival 2024 Sempena Ulang Tahun Ke-16 Melaka Bandaraya Warisan Dunia UNESCO di perkarangan Bangunan Stadthuys, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Turut bersama, Duta Besar Belanda Ke Malaysia, Jacque War Nar serta barisan Exco dan Timbalan Exco serta kenamaan lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.