Sorting by

×

Melaka rangka kerjasama pelancongan dua hala dengan negeri lain

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

MELAKA 29 Mac – Kerajaan Melaka merancang mengadakan kerjasama dengan beberapa negeri lain bagi program pelancongan dua hala menerusi pelaksanaan gelembung perjalanan bagi menyokong kelangsungan operasi pengiat industri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, ia termasuk kerjasama pelancongan dengan Terengganu menerusi Pakej Pelancongan Garam Di Laut, Asam di Darat Melaka-Terengganu.

Beliau berkata program itu menggunakan perkhidmatan ejen kembara pelancongan dan premis penginapan pelancong yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Untuk merealisasikan hasrat itu, lawatan kerja ke negeri akan diadakan bermula hari ini sehingga 1 April dengan membawa cadangan pakej tersebut kepada kerajaan Terengganu.

“Kedua-dua negeri mempunyai kelebihan masing-masing dalam sektor pelancongan dengan Terengganu popular dengan keunikan pulau-pulaunya manakala Melaka terkenal dengan tempat bersejarah,” katanya pada sidang akhbar di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Jailani berkata keputusan pelaksanaan kerjasama dan pakej yang bakal disediakan tersebut hanya akan diumumkan selepas lawatan kerja itu.

Beliau berkata pihaknya juga akan memberi tumpuan kepada pakej tertentu berdasarkan negeri-negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) lain antaranya Pulau Pinang, Sabah dan sebagainya untuk merancakkan semula industri berkenaan.

Dalam pada itu, Jailani berkata Menara Taming Sari, Melaka dijangka mula beroperasi semula April depan selepas lebih tujuh bulan ditutup kepada pengunjung berikutan kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaran.

“Insya-Allah sebelum Ramadan, menara itu akan kembali dibuka kepada pengunjung. Saya yakin ia akan mendapat sambutan kerana sebelum ini ia menerima kunjungan lebih sejuta pengunjung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

499
Kongsi :
Previous post Pentadbir universiti arkitek bentuk acuan universiti
Next post 29,350 murid terima sumbangan persekolahan TNB
Ubah saiz-+=