MELAKA RAIH PELBAGAI PENCAPAIAN 2024
BANDA HILIR 1 Januari – Tahun 2024 yang berakhir malam tadi meninggalkan pelbagai kenangan dan pencapaian manis yang berjaya dilakar Melaka dalam sudut pelancongan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) yang bermula genap setahun yang lalu bukan sahaja merancakkan industri pelancongan, bahkan membuka lembaran baharu kepada pintu masuk negeri sama ada menerusi jalan darat, udara, mahupun jalan air.
“Alhamdulillah, kejayaan Tahun Melawat Melaka ini bukan sahaja membuatkan semua jaringan jalan raya penuh, malah laluan udara dan air juga kini dipenuhi dengan kapal dan pesawat menuju ke Melaka.
“Scoot Airlines telah menyumbang sebanyak 85 peratus jumlah ketibaan pelancong melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) dan telah menambah dua penerbangan susulan permintaan yang tinggi.
“Pada masa yang sama, buat julung kalinya Melaka menerima kapal persiaran mewah Genting Dream Cruise yang berlabuh di bumi Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Ambang Tahun Baharu 2025 dan Pelancaran Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025) di Persiaran Jalan Merdeka, di sini, malam tadi.
Sambutan itu telah dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan turut Toh Puan Datuk Wira Asmah Ab Rahman.
Yang turut hadir, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Sementara itu, Ab Rauf yakin, tahun 2025, lebih banyak kejayaan akan dilakar, selain bumi bertuah ini akan terus menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.
“Saya yakin, pada tahun hadapan, perairan Melaka akan terus menjadi tumpuan laluan perjalanan dan persinggahan beberapa kapal persiaran sekali gus meletakkan Melaka sebagai hab persinggahan kapal pesiar dengan kehadiran Seven Sea Voyager dan Riviera yang dijangka tiba pada bulan Januari 2025 dan Kapal Star Scorpio pada Mac 2025,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.