Melaka promosi TMM2024 di SUKMA Sarawak

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 20 Ogos – Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak menjadi medan mempromosikan sektor pelancongan Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Inisiatif itu diambil Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka yang membuka reruai mempromosikan pakej menarik ditawarkan Melaka, selain jualan cenderamata TMM2024 di Dataran Perayaan Petrajaya, Kuching.

Pengurus Besar BPP Melaka, Sa’ari Basiron berkata kempen promosi itu diadakan selama 10 hari, berakhir 24 Ogos ini.

Katanya, sambutan sejak hari pertama reruai TMM2024 dibuka amat menggalakkan dan rata-rata pengunjung memberikan respon positif.

“Pengunjung yang menghadiri SUKMA Sarawak XXI boleh membeli cenderamata TMM2024 yang dijual di reruai Tourism Melaka seperti kemeja-T, topi, cawan, tuala muka, tumbler, beg Kanvas dan pelbagai lagi.

“Pembelian cenderamata itu melayakkan mereka menyertai cabutan bertuah TMM2024 yang menawarkan pelbagai hadiah termasuk kereta,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sarawak yang sudi menjemput Tourism Melaka bagi membuka reruai sempena SUKMA XXI Sarawak.

Abdul Razak berkata, reruai itu dibuka bersempena Karnival Usahawan dan Penjaja 2024 sempena SUKMA XXI dan telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Pelancongan Sarawak dan Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Penyertaan Tourism Melaka di sini pastinya dalam usaha mempromosikan dan menarik minat orang Sarawak khususnya untuk datang melancong ke Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

330
Kongsi :
Previous post ‘Cruise’ mewah mulakan pelayaran ke Melaka, November depan
Next post Kafe hipster lima bersaudara di Pekan Jasin
Ubah saiz-+=