
Melaka pohon bina 10 masjid baharu
PAYA RUMPUT 14 Mac. – Sebanyak 10 masjid baharu sudah dipohon untuk dibina di negeri ini menerusi peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan permohonan khas Ketua Menteri kepada Perdana Menteri.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, permohonan itu membabitkan di kesemua tiga daerah dalam negeri ini dan sedang menunggu kelulusan daripada kerajaan persekutuan.
Jelasnya, permohonan 10 masjid baharu itu membabitkan kawasan yang betul-betul mempunyai keperluan dengan anggaran peruntukan sekitar RM85 juta.
“Memang ada beberapa masjid telah kita pohon menerusi RMKe-12 pada ‘rolling plan’ pertama yang dijangka akan dibina nanti. Tapi buat masa ini, kita masih menunggu kelulusan.
“Kesemua masjid itu dipohon di kawasan yang benar-benar ada keperluan, seperti contoh di Simpang Ampat, Alor Gajah dan Jasin Bestari, Jasin.
“Selain itu, pembinaan surau dan sekolah agama juga sudah ada dalam perancangan kita,” katanya selepas merasmikan Surau Jumaat Ar-Raudhah di Taman Paya Rumput Perdana, di sini, pagi ini.
Untuk rekod, setakat ini Melaka mempunyai 212 masjid dan 585 surau di seluruh negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.