MELAKA PILIHAN UTAMA PELABUR CHINA

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 27 September – Pelabur-pelabur dari China bakal menjadikan Melaka sebagai destinasi utama pelaburan dan membangunkan kilang-kilang baharu dalam bidang kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT) dan robotik.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hasrat itu dizahirkan ketika beliau menjelajah ke negara Tembok Besar itu bagi mempromosikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia di persada antarabangsa.

Selain China, beliau berkata, Jerman turut mengambil keputusan untuk melabur di negara ini memandangkan mereka yakin dengan kemampuan Malaysia dalam bidang-bidang berasaskan teknologi.

“Semua ini akan membantu Malaysia ke arah negara maju dan sebab itulah kita memerlukan lebih ramai graduan-graduan dalam bidang TVET di negara ini.

“Dengan adanya graduan yang berkualiti dan berkepakaran tinggi, saya optimis kebolehpasaran pelajar TVET di negara ini akan terus meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo TVET @ Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri yang mewakili Ketua Menteri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah Datuk Rubiah Wang; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Mengulas mengenai ekspo berkenaan, Ahmad Zahid menyuarakan keyakinan penganjuran di Melaka akan mencapai jumlah kehadiran pengunjung tertinggi berbanding lima edisi lalu.

“Ini kerana Melaka sebuah negeri yang terbukti berjaya menarik kehadiran orang ramai dalam apa jua penganjuran acara sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

65
Kongsi :
Previous post MELAKA SEDIA JADI TUAN RUMAH WTD2025
Next post 48 PELAJAR MRSM TERENDAK KERACUNAN MAKANAN
Ubah saiz-+=