Melaka pilihan pelabur Jerman
BANDA HILIR 23 November – Nilai pelaburan Negeri Melaka dijangka terus meningkat selepas Dewan Perniagaan dan Industri Jerman (DIHK) menyatakan komitmen mereka untuk menjadikan negeri ini sebagai pilihan utama syarikat dan industri berteknologi tinggi dari negara itu.
Komitmen dinyatakan DIHK itu juga secara tidak langsung membuktikan Melaka sebagai sebuah negeri mesra pelabur yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan pemain industri global khusus dari Jerman.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kejayaan itu adalah hasil perancangan Kerajaan Negeri dalam usaha berterusan untuk memperkasakan pertumbuhan dan perkembangan ekonomi Melaka.
Mengulas dengan lebih lanjut Ketua Menteri berkata, setakat ini lapan syarikat berpangkalan di Jerman sudah bertapak dan mengembangkan sayap mereka dengan melabur di Negeri Melaka.
“Saya yakin jumlah itu akan meningkat kepada 10 buah syarikat menjelang penghujung tahun ini. Pencapaian ini dapat dilihat menerusi cadangan untuk membangunkan Taman Perindustrian Jerman di Bandar Teknologi Hijau, Ayer Keroh, susulan lawatan saya ke negara itu, mereka bersedia untuk datang melabur ke Negeri Melaka.
“Ketika ini sebuah syarikat konglomerat dunia yang terbesar mereka telah pun melabur dan bertapak di Melaka sejak lebih 50 tahun, jadi rujukan ini digunakan sebagai ‘the achievement of the state’ (kejayaan sesebuah negeri),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) yang dipengerusikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan lain-lain kenamaan.
Menurut beliau, sebuah syarikat yang beroperasi di Melaka bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan kepada anak tempatan sebaliknya tenaga kerja mereka dihantar untuk mengikuti latihan secara percuma di Jerman.
“Syarikat ini melahirkan tokoh-tokoh pekerja yang bukan saja menguruskan syarikat di Melaka tetapi di seluruh dunia, ia terus melebarkan sayap dalam kawasan perindustrian dengan menambah nilai pelaburan kira-kira RM800 juta,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.